Subscribe:

Mari Membaca

Ads 468x60px

Social Icons

Kamis, 14 Maret 2013

SAINS SEBAGAI SUMBER MENGANGKAT PERADABAN UMAT ISLAM



Sains dalam Islam bukan saja mengambil pertimbangan akal untuk mengembangkan ilmu, malah memahami maksud perisyaratan bagi membolehkan manusia melakukan kajian dan penyelidikan mengenai tanda kebesaran Allah. Akhirnya, melakukan tadabbur atau kajian yang apabila berlakunya penemuan membawa kepada penemuan saintifik dan kekaguman serta kesyukuran terhadap kebesaran Allah.
Penemuan ini akan mendekatkan lagi manusia kepada Pencipta dengan menginsafi bahawa rahsia Pencipta adalah amat hebat dan luas. Itulah ihsan Allah kepada hamba-Nya yang tidak terhitung oleh kita. Allah mengkaruniakan akal sebagai alat untuk mengembangkan ilmu dan pemikiran. Allah mengajar nabi terdahulu mengenai sesuatu yang menjadi sumber ilmu.
Allah menganugerahkan Nabi Muhammad wahyu atau al-Quran sebagai petunjuk utama untuk manusia, khususnya untuk orang bertakwa. Rasulullah melalui pengalaman manusiawi dengan titipan Rabbani selama 23 tahun dalam pimpinan dan pedoman langsung daripada Allah.
Tarbiah Rabbani kepada Nabi Muhammad menjadikannya insan sempurna, kamil dan contoh. Peristiwa Israk dan Mikraj memberikan kekuatan kepada Nabi Muhammad untuk melalui proses pembersihan hati dan melihat bukti ghaibiah seperti balasan terhadap orang yang melakukan kebaikan dan keburukan di dunia. Tanggungjawab menerima amanah sholat adalah suatu anugerah besar menghubungkan manusia dengan Allah.
Manusia secara fitrahnya memerlukan contoh dan akhlak adalah sumber contoh terbaik. Daripadanya manusia mendapat pedoman dan sumber ikutan. Kekuatan akal dihubungkan dengan ikhtiar manusia untuk mencari, menemui dan memanfaatkan sesuatu untuk kebaikan hidup di dunia adalah terbatas. Yang ditemui oleh akal dan pancaindera masih tidak memadai bagi manusia memahami hakikat kejadian, alam dan faktor ghaibiah.
Ahli sains membuat kajian dengan menggunakan kekuatan akal menerusi penerokaan dan penyelidikan. Sekiranya kerja itu dilakukan tanpa pertimbangan untuk mendapatkan keredaan Allah, faktor ihsan akan dilupakan. Apabila faktor ihsan tidak menjadi sumber pedoman, manusia boleh menjadi angkuh dan takbur. Sesuatu yang ditemui dan didapatinya, dikatakan hasil kerjanya sendiri yang tidak ada kena-mengena dengan Pencipta.
Islam mendorong manusia melakukan kajian dan penyelidikan yang sentiasa menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan apabila lahir sesuatu kejayaan ia selalu dikaitkan dengan Pencipta dan redanya. Keihsanan dan keinsanan memberikan asas kepada terbentuknya kesepaduan ilmu. Ilmu daripada Allah iaitu al-Quran menjadi pedoman utama untuk mengembangkan ilmu alat seperti sains dan teknologi. Ini kerana ilmu daripada Allah memberikan asas nilai, etika dan akhlak kerana penggunaan ilmu alat tanpa nilai, etika dan akhlak menyebabkan manusia lupa diri dan hilang amanah terhadap kebaikan dan manfaat ilmu.
Dalam al-Quran ada petunjuk atau perisyaratan mengenai alam, penciptaan, manusia serta iblis, syaitan dan malaikat. Petunjuk dalam al-Quran menjadi asas kepada tradisi sains dalam Islam. Asas tradisi sains dalam tradisi Barat lebih banyak menumpu kepada asas empirikal atau rasional semata-mata. Tradisi sains dalam Islam menjadikan al-Quran sebagai sumber. Dengan dorongan tadabbur atau kaji selidik, saintis Islam mengkaji objek alam dan manusia berasaskan perisyaratan itu. Hasilnya terbentuk tradisi sains yang tidak menolak faktor ghaibiah seperti kekuasaan Allah, peranan malaikat, kewujudan iblis dan syaitan. Ini kerana faktor dalam diri manusia tidak hanya terkandung kekuatan akal, malah manusia memiliki hati dan rasa yang mudah terdedah dengan pengaruh yang boleh menyelewengkan akal ke arah nilai buruk dan merosakkan.

Nilai Qurani yang menganjurkan kebaikan dan kemakrufan dalam setiap gerak kerja hidup insan memberi pedoman supaya apa saja asas ilmu yang ingin dikembangkan, mesti memberi manfaat untuk mengekal dan mengukuhkan fitrah insan. Contohnya, isu pengklonan. Jika tidak diasaskan kepada etika dan kemanusiaan tinggi, ia bakal memberi kesan buruk terhadap corak fitrah manusia dan kehidupan itu sendiri. Isu genetik juga menggambarkan penerokaan manusia untuk menyusur galur hal berkaitan keturunan, penyakit dan sebagainya. Ia bakal memberi kesan kepada corak berfikir dan gaya hidup masyarakat jika isu genetik dilihat terpisah dengan rahsia kejadian dan kebesaran Allah.
Begitu juga dengan perkembangan sains dan teknologi robotik tidak harus sampai menjadikan manusia lebih mekanistik sifatnya hingga melupakan nilai adab, kesantunan dan ketertiban.
Islam tidak menolak kepentingan sains dan teknologi. Islam juga tidak menolak ilmu sains sosial yang juga menyumbang untuk memahami manusia, masyarakat dan kehidupan. Tetapi faktor keihsanan akan sentiasa memandu manusia dengan jiwa keinsanan tinggi. Jiwa keihsanan yang tinggi menghubungkan teknologi dan sains sebagai alat dan bukannya matlamat.
Sifat sains dan teknologi akan sentiasa dinamik dan berubah. Islam tidak menolak perubahan bentuk kepada alat, asal saja maksud batini atau asasi kepada utiliti atau nilai guna alat memaparkan kebaikan dan manfaat kepada manusia.
Islam tidak menolak kewujudan alat komunikasi dan telekomunikasi bagi memudahkan kehidupan manusia. Tetapi faktor keihsanan memandu manusia supaya maklumat yang diterima dan komunikasi yang dilakukan berguna dan merapatkan hubungan baik antara seorang manusia dengan manusia lain.
Islam menolak kecanggihan teknologi dan ilmu alat yang tidak menyumbang membangunkan adab dan tamadun. Peradaban dan ketamadunan menjadi sumber perlindungan yang menawarkan etika dan kemanusiaan tinggi. Ia bukan terhasil untuk mempamerkan kesombongan dan keangkuhan sesuatu kuasa terhadap manusia lain.
Ada orang berpendapat bahawa ilmu, pengetahuan dan maklumat semuanya datang daripada Allah. Oleh kerana ia datang daripada Allah, maka ilmu, pengetahuan dan maklumat itu sudah Islamik. Kita tidak boleh bersikap ambil mudah dengan kenyataan sedemikian. Benar, ilmu, pengetahuan dan maklumat yang baik dan bermanfaat datang daripada Allah. Tetapi penyelewengan boleh dilakukan oleh manusia atau manusia tidak merujuk langsung sumber ilmu, pengetahuan dan maklumat yang menjadi perisyaratan dan petunjuk Allah.
Alam ini dengan segala isi dan ketakjubannya menggambarkan ayat Allah yang perlu diterjemah dan dibaca mengikut perspektif ihsan. Apabila faktor ihsan disingkirkan penemuan mengenai faktor alamiah hanya bersifat zahiri, tidak mendalam dan tidak menepati maksud fitrah itu sendiri. Akhirnya pemahaman manusia terhadap alam dan kehidupan ternyata dangkal, bersifat zahiri serta tidak mampu membaca hakikat dan faktor batini yang jauh lebih bersandar konsep ihsan yang sifatnya Rabbaniah.
Seperti wujud kenyataan bahawa semua manusia adalah ciptaan Allah. Kenyataan itu adalah benar. Tetapi tidak semua ciptaan Allah itu kembali kepada Allah. Meskipun mereka lahir dalam keadaan fitrah, persekitaran yang ada baik dari segi keturunan, tradisi dan amalan yang membezakan mereka itu Islam atau sebaliknya.
Hal sama berkait dengan faktor ilmu alat, ia bergantung kepada dua perkara. Pertama ada ilmu alat seperti ilmu sains sosial memerlukan faktor ihsan bagi mengembangkannya. Kalau tidak ia akan gagal memahami hakikat kejadian, penciptaan dan kemajuan. Ilmu alat yang bersifat teknologi memerlukan pereka dan penggunanya memiliki kualiti ihsan supaya pertimbangan nilai guna ilmu alat itu akan sentiasa menyumbang serta mengukuhkan kebaikan dan kesejahteraan umat manusia.
Komputer sebagai alat, tidak menjadi masalah apabila kita hubungkan dengan kemajuan. Apa yang terkandung dalam komputer sama ada dari segi perisian atau programnya berkaitan dengan perkara sama ada ia mampu mengangkat martabat insan untuk mengembangkan ilmu, pengetahuan, pemikiran dan maklumat atau tidak. Atau sebaliknya ia menjadi sumber yang memberi sumbangan terhadap kerosakan minda generasi muda.
Kesepaduan ilmu mengambil pertimbangan ihsan iaitu talian hubungan manusia dengan Allah dan manfaat hubungan manusia sesama manusia iaitu insan. Dari sudut Islam, ilmu tidak dikatakan benar dan bermanfaat sekiranya tidak datang daripada Allah. Insan boleh menyelewengkan ilmu sekiranya tidak memiliki nilai dan akhlak tinggi. Ini kerana tanpa nilai ihsan, manusia cenderung menimbulkan kerosakan terhadap manusia lain dan alam ini.
Dengan kekuatan ihsan yang ada pada manusia, ilmu bakal berkembang dengan memberi manfaat kepada manusia. Ini kerana ilmu yang baik adalah amanah daripada Allah dan manusia memiliki taklif atau tanggungjawab menguruskan ilmu untuk kebaikan manusia dan kehidupan.


0 komentar:

Posting Komentar

Silakan anda komentar blog ini dan budayakan memberikan pendapat
terima kasih

 
Blogger Templates